Tahun Baru Hijrah 1433H & Kita

Bismillah..

Segala puji bagi Allah yang memberi peluang kepada kita untuk memasuki tahun baru Islam bagi tahun 1433H. Apa yang kita harapkan dari tahun baru yang tiba ini, adalah tahun di mana kita, ummat Islam meningkatkan amalan-amalan kebaikan supaya ia menjadi bukti untuk kita menghadap Allah SWT.

Melayari memori perjuangan Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah membuatkan saya cukup terharu akan perjuangan baginda dan saya mengharapkan generasi  ummat Islam masa kini mengambil pengajaran dari peristiwa agung tersebut. Ingin saya nukilkan dari ringkasan sejarah yang ditulis oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, EXCO Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), dalam blog beliau mengatakan bahawa hasil dari hijrah membuktikan para sahabat berjaya membina kerajaan terkuat di dunia dan pusat Tamaddun Islam yang berterusan lebih 1300 tahun. Realiti sejarah ini perlu diambil pengajaran oleh ummat Islam masa kini.

Di Malaysia dan kawasan rantau Tanah Melayu, sudah menjadi kebiasaan masyarakat setempat membaca do’a akhir tahun dan do’a awal tahun yang disusun oleh ulama’ nusantara. Semoga do’a yang kita baca menjadi benteng dan menjadi kekuatan kepada kita bagi meneruskan tahun yang mendatang. Betapa halusnya masyarakat Melayu menghayati setiap peristiwa sejarah Nabi agar masyarakat sentiasa peka dengan setiap peristiwa besar dalam Islam. Namun, membaca do’a bagi awal dan akhir tahun bukanlah amalan Rasulullah S.A.W. bahkan perkiraan tahun hijrah juga bermula ketika pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab tetapi bagi mereka yang ingin mengamalkan membaca do’a tersebut ambillah peluang ini sebagai masa untuk memuhasabah diri dan sebagai tarhib (peringatan) supaya kita mampu kekal melaksanakan tanggungjawab kepada Allah S.W.T. Manakala bagi mereka yang tidak mahu membaca juga tidak menjadi masalah dan bukanlah menjadi satu kesalahan besar.

Hijrah Membangun Umat Beragenda

Berada di tanah gersang Korea Selatan merupakan satu cabaran buat ummat Islam. Cabaran mereka meliputi kesukaran mencari makanan halal hinggalah ke aspek ibadah khusus. Apapun cabaran yang kita lalui sebenarnya akan mengukuhkan keimanan kita sekiranya kita mampu mengekalkan jati diri Muslim serta berani untuk mengiklankan prinsip hidup kita. Saya doakan agar ummat Islam yang berada di Korea Selatan samada pelajar, kakitangan kerajaan, golongan professional dan sebagainya bersama-sama mendalami erti hijrah yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. serta menghubungkaitkan dengan pengalaman sepanjang keberadaan kita di perantauan.

Sahabat sekalian,

Apabila kita mengatakan penyaksian kita kepada Allah S.W.T, maka kita perlu berusaha memahami erti sebenar ajaran dan agenda yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada umatnya. Mungkin selama ini kita sering mengambil peluang yang diberi sambil lewa hingga kita lupa sebenarnya Allah inginkan kita berusaha menegakkan kalimahNya yang tinggi dalam setiap ruang lingkup kita tetapi kita tidak memahaminya. Menjadi agenda kita juga sebagai ummat Islam untuk membuktikan bahawa Islam adalah satu sistem yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia.

Buat golongan pemuda-pemudi, semoga kalian menjadikan pengalaman di Korea Selatan sebagai pengalaman yang cukup berharga untuk diaplikasikan sebaik sahaja pulang ke tanah air tercinta. Di sanalah medan realiti kita berjuang dan menyampaikan risalah kepada kaum kita sendiri. Ambillah peluang di sini untuk berhijrah sebaik mungkin dan peliharalah kecemerlangan anda samada dari segi syakhsiah, akademik dan juga bidang-bidang kemahiran tambahan. Masih banyak nilai-nilai murni yang perlu kita hayati dan menghidupkan budaya tersebut di dalam kehidupan harian kita seperti membuat kerja bersugguh-sungguh, tidak menangguh urusan yang diberi, fokus dalam pekerjaan, tepat waktu dan sebagainya agar kita mampu membentuk generasi yang memenuhi kriteria yang digariskan oleh Imam As-syahid Hassan Al-banna.

Akhir kalam, mari sama-sama kita berhijrah dan memulakan tahun baru untuk bermuhasabah dan bertaubat di atas kelalaian kita yang lepas. Hayatilah satu kisah di mana Mansur bin Amar menasihati seorang pemuda, “Wahai pemuda, janganlah engkau tertipu oleh mudamu, betapa banyak anak muda melambat-lambatkan taubat lalu apabila maut datang dia lupa bertaubat. Apabila seluruh anak isteri dan keluarganya bahkan hartanya tidak berguna lagi”.

Maksudnya : “pada hari di mana harta dan anak tidak bermanfaat, kecuali orang yang dating kepada Allah (mati) (dengan hati yang selamat membawa iman/taubat)” as-syura; 88-89

Semoga kedatangan tahun baru 1433H membawa seribu makna kepada ummat Islam serta sinar hidayah di Korea Selatan. Amin.

Sekian.                                                                                                                                                  Salam Hijrah Membangun Umat Beragenda.

 

 

 

 

Pengerusi,                                                                                                                                    Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Korea Selatan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s