Bismillah…..
Baru pulang dari pejabat dan sempat makan malam bersama isteri. Selesai menikmati hidangan yang disediakan isteri, paknap meluru ke dapur untuk basuh pinggan dan periuk yang ditinggalkan isteri tersayang =)
Sambil basuh-basuh, terngiang-ngiang pesanan ayahnda. Dua perkara yang cukup terpahat di dalam hati ini :
1. “Jaga hati jangan riak & bangga diri dalam melakukan dakwah. Berapa ramai orang tersungkur dalam medan dakwah kerana tak tak jaga hati”
2. “Berapa ramai mak ayah orang hebat-hebat tapi anak-anak depa tak menjadi. Ada keluarga anak sampai 8 orang dan semua anak-anak dia menjadi. Kadang ada keluarga anak 8 orang, hidup susah pulak tu. lepas tu, anak seorang pun tak menjadi. Besaq nanti kena tengok leklok la anak-anak”
Ayah adalah seorang yang cukup seronok dijadikan teman bersembang. Kalau kami sekeluarga pulang ke kampung, paknap akan ditugaskan untuk duduk sebelah ayah menemani ayah sepanjang perjalanan ke kampung. Seorang yang cukup suka bersembang dan kongsikan maklumat terkini.
Apa yang ingin paknap ketengahkan dari 2 nasihat di atas adalah mereka yang berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai penyeru kebaikan, menegakkan amar makruf & nahi munkar, senantiasa berada di dalam suasana berhati-hati dan ujian yang mencabar. Kita diuji, keluarga diuji, anak-anak diuji, harta benda diuji dan sebagainya. Sekiranya kita tidak memahami hakikat sebenar hidup ini, maka kita akan tersungkur kerana tidak pandai menyusun keutamaan (priority) dalam kehidupan. nauzubillah…
Suasana dan cabaran sekarang memerlukan ibu bapa yang bukan sekadar menyediakan pendidikan yang baik untuk anak-anak tetapi ibu bapa juga perlu bersedia menjadi contoh ikutan yang baik serta berusaha sehabis mungkin menjadikan diri mereka sebagai pendidik dan tempat merujuk yang utama kepada anak-anak mereka.
Melihat kepada zaman kanak-kanak saya, ayah cukup memberi perhatian kepada kami sama ada dari aspek agama, kesihatan, pendidikan mahupun sukan. Saya mendapat raket tenis pertama ketika darjah 6. Adik-adik saya ada yang mendapat boot bola jenama Adidas Predator ketika darjah 5, ada yang mendapat kayu hoki (jenama apa saya tak ingat tapi jenama original juga). Namun, kami juga sedikit pun tidak ketinggalan dalam hal ehwal pendidikan agama. Saya masih ingat, dilatih menghafal Quran seusia 8 tahun. Ketika itu, hafal Surah Yasin & As-Sajdah. Begitu juga adik-adik saya yang lain bahkan mereka lebih ke depan dalam hafazan Quran. Tetapi, apabila melihat sikap ayah yang hanya tetap mengekalkan sifat coolnya menaiki Suzuki GSX110 (sejak tahun 1996 hingga kini) ke sekolah, membuatkan saya memahami erti sebenar pengorbanan seorang ayah. Kunci utama baginya ialah pendidikan anak-anak yang seimbang adalah keutamaan.

Mak & ayah ketika walimah di Selama, Perak. Diijab kabulkan di Binghamton, NY oleh Aziz Al-Dweik (Speaker of The Palestinian Legislative Council), sahabat karib ayah ketika di NY
Begitu juga emak, seorang guru Fizik & Matematik Tambahan, yang mana akan tiba di rumah pada pukul 4 petang akan bersiap sedia untuk solat Asar dan seterusnya mengajar adik-adik belajar Al-Quran serta memeriksa hafazan adik-adik. Terus di malam hari akan bersiap siaga untuk mengajar adik-adik menyiapkan kerja sekolah kerana kami tak ambil kelas tambahan di luar. Kemudian, akan menyelesaikan menanda buku-buku anak muridnya pula. Begitulah rutin mak. Namun, sedikitpun tidak mengabaikannya untuk istiqamah berqiamullail dan juga membaca Al-Quran.
Seusia hampir menjadi ayah, nasihat-nasihat dan peringatan mak & ayah amat memberi motivasi kepada paknap. Alhamdulillah, Allah ketemukan dengan seorang wanita yang serasi serta keluarga mentua yang tidak jauh beza dengan pengorbanan mak ayah paknap. Keperibadian yang hebat pada mak ayah mentua yang dikongsikan oleh isteri juga turut memberi semangat dalam menyusun langkah dengan penuh terancang. Diserikan lagi dengan adik beradik ipar yang ceria-ceria belaka. =)
Semoga pasangan suami isteri generasi masa kini berusaha sebaik mungkin mengukuhkan kefahaman agama mereka dan mempunya kesediaan memberi perhatian kepada tumbesaran anak-anak kita.
Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Warisan bagi Allah ‘Azza wajalla dari hambaNya yang beriman ialah puteranya yang beribadah kepada Allah sesudahnya.”
(HR. Ath-Thahawi).
WaALLAHU a’lam…
